Senarai menteri gambarkan tekad PM ambil kira pandangan rakyatPUTRAJAYA: Kabinet baru Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam menyaksikan keanggotaan lebih kecil dengan separuh daripadanya muka baru serta pengguguran tujuh menteri, sama ada yang sudah lama berkhidmat, tidak berkesan atau mencetuskan kontroversi. Walaupun beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) kalah teruk pada pilihan raya umum lalu, pentadbiran baru itu mengekalkan keseimbangan kaum dengan lebih ramai wakil dari Sabah dan Sarawak serta reformis dan teknokrat dilantik menyertai Kabinet.
Malah, senarai Kabinet baru itu menggambarkan tekad Perdana Menteri untuk membuat perubahan dengan mengambil kira pandangan dan suara pengundi pada pilihan raya umum lalu yang hampir separuh daripadanya memilih menentang BN hingga mengakibatkan kekalahan paling teruk gabungan itu sejak 1969. Semua jawatan Setiausaha Parlimen dimansuhkan bagi memastikan menteri dan timbalan menteri bekerja lebih keras termasuk menghadiri sidang Parlimen. Pada sidang media khas di Bangunan Perdana Putra di sini yang disiarkan secara langsung menerusi RTM dan TV3, Abdullah mengumumkan keanggotaan pentadbiran baru kali ini dikurangkan daripada 90 kepada 68 anggota.
Ia kini dianggotai 31 menteri dan 37 timbalan menteri, berbanding 31 menteri, 39 timbalan menteri dan 20 Setiausaha Parlimen sebelum ini. Abdullah juga merombak Kabinet yang diwarisi daripada Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2003, yang sebelum ini hanya dilakukannya secara minimum di sebalik kemenangan besarnya pada pilihan raya umum 2004. Muka lama yang tidak disenangi pengundi seperti Datuk Seri S Samy Vellu dan menteri yang tidak popular tetapi masih dicalonkan seperti Datuk Seri Zainuddin Maidin dan Datuk Aziz Shamsuddin, kini tidak lagi disenaraikan dalam barisan Kabinet. Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, yang sudah lama berkhidmat dalam Kabinet, digugurkan. Begitu juga dengan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang mencetuskan kontroversi apabila dikaitkan dalam kes klip video Lingam walaupun beliau menafikan segala dakwaan terhadapnya.
Selain Rafidah dan Tengku Adnan, lima lagi menteri yang menang pada pilihan raya umum lalu - Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, Datuk Dr Abdullah Md Zin, Datuk Seri Dr Fong Chan Onn serta dua menteri dari Perlis yang terbabit dalam krisis kepimpinan di negeri kecil itu, Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad, Datuk Seri Azmi Khalid, turut digugurkan. Malah, Perlis yang sebelum ini mempunyai wakil terbesar dari segi peratusan, tidak mendapat satu kerusi pun dalam Kabinet. Bagi mengisi kekosongan itu, Abdullah melantik enam muka baru termasuk seorang tokoh perbankan, Datuk Amirsham A Aziz dan peguam terkemuka, Datuk Mohd Zaid Ibrahim, manakala lapan timbalan menteri dan dua Setiausaha Parlimen dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh. Amirsham - Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Maybank, bertanggungjawab dalam perancangan ekonomi, manakala Mohd Zaid diberi peranan mengubah badan kehakiman. Kedua-duanya dilantik sebagai Menteri di JPM dan mengangkat sumpah sebagai senator petang semalam. Dua ahli politik veteran - bekas Menteri Besar Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan Ahli Parlimen Johor Bahru yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Shahrir Abdul Samad turut disenaraikan dalam barisan Kabinet kali ini. Muhammad dilantik sebagai Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, manakala Shahrir menjadi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna. MCA yang kehilangan banyak kerusi Parlimen, masih mendapat empat jawatan menteri, termasuk satu diisi seorang muka baru - Ahli Parlimen Tanjong Malim, Datuk Ong Ka Chuan (Perumahan dan Kerajaan Tempatan). Tiga lagi diisi timbalan menteri yang dinaikkan pangkat sebagai menteri penuh. Mereka ialah Datuk Ong Tee Keat dilantik (Pengangkutan), Datuk Dr Ng Yen Yen (Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Liow Tiong Lai (Kesihatan). MIC yang kalah teruk pada pilihan raya lalu, juga masih mendapat satu jawatan menteri, diisi bekas Setiausaha Parlimen Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr S Subramaniam. Beliau dinaikkan pangkat sebagai Menteri Sumber Manusia. Gerakan pula tidak mempunyai seorang pun wakil dalam Kabinet. Bagaimanapun, seorang Ahli Parlimen dan seorang senator dari parti itu dilantik sebagai timbalan menteri. Barisan Kabinet kali ini juga menyaksikan hanya dua wanita dilantik sebagai menteri - Datuk Seri Azalina Othman Said yang bertukar portfolio daripada Kementerian Belia dan Sukan ke Kementerian Pelancongan dan Dr Ng, menteri wanita pertama dari MCA. Lima lagi wanita dilantik timbalan menteri. Pentadbiran sebelum ini mempunyai tiga menteri wanita, tiga timbalan menteri dan enam Setiausaha Parlimen. Bekas Setiausaha Parlimen di JPM, Datuk Dr Mashitah Ibrahim, yang tidak bertanding pada pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Timbalan Menteri di JPM dan turut mengangkat sumpah sebagai senator, petang semalam. Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan berasingan pula mengumumkan, Abdullah akan melantik Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sebagai Penasihat Khas bertaraf menteri kepada Perdana Menteri berhubung Hal Ehwal Pembangunan Wanita dan Sosial. Shahrizat tidak disenaraikan dalam barisan Kabinet baru kerana tewas pada pilihan raya umum lalu. Sabah yang kekal sebagai kubu BN, mendapat tambahan dua timbalan menteri menjadikannya empat, selain mengekalkan tiga jawatan menteri - Tan Sri Bernard Giluk Dompok (Menteri di JPM), Datuk Mohd Shafie Apdal (bertukar portfolio ke Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan) dan Datuk Dr Maximus Ongkili (bertukar portfolio ke Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi). Sarawak mendapat tambahan empat timbalan menteri menjadikannya lapan, manakala jawatan menteri kekal dua - Datuk Peter Chin Fah Kui (Perusahaan Perladangan dan Komoditi) dan Datuk Douglas Uggah Embas (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar). Abdullah yang hanya mengekalkan satu portfolio - Menteri Kewangan, berkata senarai Kabinet baru itu sudah diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin pagi semalam. Tujuh menteri mengekalkan portfolio masing-masing, manakala lapan bertukar kementerian. Selain Datuk Seri Najib Razak yang dikekalkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, menteri lain yang mengekalkan portfolio masing-masing Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Bernard Dompok Menteri di JPM, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop (Menteri Kewangan II), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Pelajaran), Datuk Seri Zulhasnan Rafique (Wilayah Persekutuan) serta Peter Chin (Perusahaan Perladangan dan Komoditi). Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula bertukar ke Menteri Dalam Negeri yang diwujudkan semula dengan menggabungkan Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri. Abdullah turut menyerapkan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional di JPM ke Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan yang kini dikenali sebagai Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan. Tan Sri Muhyiddin Yassin pula bertukar portfolio daripada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani kepada Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Dr Rais Yatim (Kebudayaan, Kesenian dan Warisan kepada Menteri Luar), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (Pembangunan Usahawan dan Koperasi kepada Pengajian Tinggi) dan Datuk Mustapa Mohamed (Pengajian Tinggi kepada Pertanian dan Industri Asas Tani).
No comments:
Post a Comment